Wednesday, January 24, 2007

Topik yang sering dibincangkan di dalam kelas pada penggal ini ialah tentang sejarah Melayu dan bagaimana ia sampai ke kepulauan yang dinamakan Melayu ini. Cikgu telah memberi saya sedikit sebanyak tentang sejarah Melayu, dan dari mana kita berasal. Menurutnya, kami berasal dari negeri Cina, terutama sekali di Pulau Hainan. Bangsa cina Hainan kemudian berhijrah ke kepulauan melayu seperti Malaya, Indonesia dan ada juga tercampak hingga ke Madagascar!

Sempena meninjau kembali sejarah wujudnya melayu, Cikgu Yanti telah menyusunkan supaya kami, iaitu murid-murid tahun 2 akademi Temasek yang mengambil bahasa melayu lanjutan, untuk ke perpustakaan nasional untuk menghadiri dua bengkel pada dua sabtu yang lalu. Bengkel yang telah saya hadiri dilangsungkan sempena dengan pameran barang-barang antik seperti tulisan lama dan artifek-artifek lama pada zaman dahulu.

Sebelum ke bengkel yang pertama, saya rasa amat ghairah dan tertarik kepada program bengkel ini kerana ia tentang tulisan melayu lama. Cikgu telah memberi kami sedikit informasi tentang tulisan melayu lama seperti dalam bentuk Sanskrit dan juga Pallava. Jawi juga adalah salah satu bentuk tulisan melayu yang digunakan pada zaman dahulu.

Pada mulanya, pengacara bengkel tersebut telah memberi kami latar belakang penganjur bengkel ini. Mereka dipanggil MVAC(Mediterranean Visual Arts Club). Mereka mendalami penulisan dan lukisan timur tengah.

Semasa menghadiri bengkel yang pertama pada tanggal 13hb Januari yang lalu, saya telah didedahkan kepada pelbagai tulisan arab. Pelukis-pelukis yang mahir membentukkan tulisan ini memanggilnya calligrafitti. Mereka menggabungkan calligrafi dengan graffiti. Pada pendapat saya, ini adalah cadangan yang baik kerana ia dapat menarik minat golongan yang muda seperti saya untuk mencuba.

Contoh-contoh tulisan arab ditulis dengan cara-cara yang unik adalah seperti diwani, kufic, thuluth, naskh, dan lain-lain lagi. Menurut pelukis, jika seseorang dapat menulis dalam kesemua 7 cara-cara yang unik ini, beliau boleh menguasai segala macam tulisan yang lain. Saya juga diberitahu bahawa tulisan jawi diturunkan ke kepulauan Melayu daripada pendagang yang datang daripada negeri Arab. Itulah sebabnya tulisan Melayu bertukar daripada Sanskrit ke Pallava tukar ke jawi, dan akhirnya tulisan rumi.



Contoh tulisan Sanskrit


Contoh ukiran Pallava


Contoh tulisan Jawi


Tulisan huruf arab cara Diwani


Tulisan huruf arab cara Thuluth


Tulisan arab cara kufic

Setiap cara penulisan ada keunikannya yang tersendiri. Contohnya, thuluth yang bermaksud tiga dalam bahasa arab, bermaksud tulisannya panjang pada ekor perkataan. Penulisan yang paling saya gemar ialah Diwani kerana ia cantik dan lain daripada yang lain. Menurut pelukis juga, cara penulisan ini di konteks zaman sekarang lebih digunakan sebagai perhiasan kecuali Naskh, yang digunakan untuk menulis ayat di dalam kitab Al-Quran.

Setelah kami diberi latar belakang dan minda kami diisi informasi, kami diberi peluang untuk mencuba menulis nama kami dalam tulisan arab. Inilah masa yang paling seronok kerana saya asyik tertawa sahaja melihat gelagat rakan-rakan saya yang lain cuba menulis nama mereka dalam jawi.

Dalam kesulurahannya, bengkel yang pertama sangatlah menyeronokkan kerana saya dapat mencuba dan mengetahui cara-cara penulisan yang menarik. Pada pendapat saya ia telah memanfaatkan saya kerana sekarang saya boleh menulis calligraffitti jika saya mahu menghias kerja-kerja saya.



Akhir bengkel pertama

Bengkel yang kedua pula jatuh pada tarikh 20hb Januari pada sabtu yang baru berlalu. Kali ini, kami telah menghadiri syarahan oleh Encik Tran Ky-Phuong seorang pengkaji dan pensyarah dari Vietnam Association of Ethnic Minorities Culture and Arts. Beliau telah bercakap tentang golongan kerajaan Champa di Vietnam yang telah wujud sejak abad ke 4. Mereka telah dipercayai menetap di Vietnam sejak dahulu lagi dan telah menggunakan bahasa yang digunakan oleh golongan Austronesian yang seakan-akan dengan bahasa Melayu.

Menurut Encik Tran, wujudnya banyak perubahan dalam bahasa mereka kerana adanya bukti bahawa Sanskrit, Pallava dan Jawi juga telah dijumpa pada ukiran-ukiran. Ia dikatakan datang daripada pendagang-pendagang yang bukan sahaja membawa barangan untuk dijual, malah membawa dengan mereka agama dan bahasa dengan tujuan untuk mempengaruh orang-orang yang berada di tempat mereka mengunjungi.

Semasa syarahan itu, saya tidak dapat memahami sepenuhnya apa yang diperbualkan Encik Tran kerana telonya yang luar biasa. Isi yang dibentangkan juga tidak memuaskan kerana beliau hanya menunujukkan artifek-artifek sahaja, tetapi beliau tidak bercakap tentang apakah sifat orang di Champa ini yang dianggapkan mereka sebagai orang Melayu.

Akhirnya, apa yang saya dapat memahami daripada pembentangan itu ialah orang di Champa bukan orang Melayu, malah mereka hanya menguasai bahasa Melayu. Yang menjadi persoalan, apakah yang dimaksudkan Melayu? Adakah ia semata-mata sejenis bahasa, ataupun adakah ia sejenis golongan yang berkulit hitam manis, mempraktikan adat Melayu dan juga bertutur dan memahami bahasa Melayu?



Akhir bengkel kedua bersama Encik Tran dan Cikgu Elina

No comments: